Monday 6 May 2013

Resepi Kek Lapis

RESEPI KEK LAPIS
Pengenalan

Kek Lapis adalah sejenis kek unik yang berasal dari Sarawak di Malaysia dan diperbuat daripada banyak lapisan yang berselang-seli dengan warna. Walaupun Kek Lapis agak rumit untuk dibuat, ia juga mempunyai pelbagai rasa, beraneka corak dan warna. Pada masa kini, Kek Lapis Sarawak merupakan industri besar yang bakal menjengah ke pasaran global sesuai dengan keunikannya yang cantik dilihat dan sedap dimakan.

Menyingkap sejarah Kek Lapis, dipercayai berasal dari Indonesia namun mula diperkenal serta mendapat tempat di kalangan penduduk Sarawak sekitar tahun 1980-an. Oleh sebab itu, Kek Lapis telah menjadi satu pembudayaan kek tradisi yang pertama diperkenalkan di Negeri Sawarak. Sejak itu, Kek Lapis kian sinonim dengan Sarawak, malah Kek Lapis Sarawak yang dihasilkan jauh lebih sedap daripada Kek Lapis negara jiran itu, kerana bahan yang digunakan lebih pelbagai dan mutunya juga lebih baik.

Kek Lapis Sarawak merupakan hasil kerja tangan tradisi warga Bumi Kenyalang yang diwarisi secara turun-temurun. Pada zaman dahulu, hampir setiap pelancong yang berkunjung ke Bumi Kenyalang ini pasti membeli kek itu sebagai ‘ole-ole’ untuk dibawa pulang. Setelah 30 tahun berlalu, Kek Lapis Sarawak semakin terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan, malah menerima banyak tempahan dari Semenanjung, Sabah, Brunei dan Singapura.

Keunikan Kek Lapis Sarawak yang dihasilkan telah memberikan impak besar kepada masyarakat Malaysia hari ini. Kek Lapis Sarawak di samping menjadi menu utama hari – hari perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan Gawai, turut menjadi pilihan di Majlis Perkahwinan, Pertunangan malahan tidak ketinggalan badan-badan korporat juga memilih Kek Lapis Sarawak menjadi cenderahati di majlis–majlis rasmi mereka sebagai satu bentuk kelainan. Resepi untuk Kek Lapis Sarawak dan Kek Lapis India akan diperkenalkan.


Kek Lapis
Bahan-Bahan untuk Kek Lapis Sarawak
(81/2 x 8/12 inci )
Bahan untuk Bahagian Dalam Kek
5 biji kuning telur
3 biji putih telur
150 gram gula kastor
100 gram tepung hong kong
1 sudu makan ovellate
200 gram mentega/ butter
3 sudu makan susu pekat


Cara-Cara untuk Membuat Lapisan Dalam Kek

1) Pertama sekali, pukul mentega dan susu pekat sehingga sebati.

2) Pukul putih dan kuning telur, gula kastor, tepung hong kong dan ovellate sehingga kembang. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis. Kacau dengan rata lagi.

3) Kemudian masukkan ke dalam adunan mentega dan susu pekat. Gaul dengan rata dan sebati.

4) Panaskan ketuhar pada suhu 170°C.

5) Kemudian jadikan adunan kepada tiga bahagian.

6) Masukkan pewarna hijau ke dalam bahagian pertama, pewarna merah ke dalam bahagian kedua dan pewarna kuning ke dalam bahagian ketiga.

7) Warna boleh digunakan dengan mengikut kehendak dan suka hati masing-masing.

8) Bakar bahagian pertama dahulu. Apabila hampir masak, lapiskan bahagian kedua dan seterusnya lapiskan bahagian ketiga semasa lapisan kedua hampir masak. Buat tiga lapisan dan bakar secara berlapis-lapis.

9) Sejukkan kek tersebut dahulu semasa masak. Kemudian potongkan kek tersebut berbentuk memanjang.

10) Kemudian potonglah kek menjadi bentuk segitiga kecil-kecil, segiempat sama atau segiempat tepat.


Bahan untuk Bahagian Luar kek
300 gram putih telur (8 biji putih telur)
190 gram tepung hong kong
150 gram gula kastor
1 sudu makan ovellate
250 gram butter/ mentega (cairkan)
50 ml susu cair


Cara-Cara untuk Membuat Lapisan Luar Kek

1) Terlebih dahulu, pukul putih telur sehingga kembang. Kemudian pukul semua bahan kecuali mentega cair.

2) Akhir sekali barulah masukkan mentega cair. Gaul dengan rata dan sebati.

3) Bakar lapisan pertama sebanyak 5 sudu makan. Apabila hampir masak, susunkan kek yang telah dipotong tadi di atasnya.

4) Masukkan adunan di atasnya sehingga menutupi semua kek yang telah dipotong. Selepas itu, bakar sekali lagi.

5) Semasa hampir masak, susun lagi kek yang telah dipotong tadi. Buatlah begitu sehingga semua adunan habis.

6) Gunakan saiz acuan (81/2 x 8/12 inci ).


Tips: Setiap sukatan juga boleh terlebih sebanyak (1-10gm) dalam timbangan. Jangan tertinggal untuk menggunakan ovellate semasa membuat kek lapis.
Bahan-Bahan untuk Kek Lapis India/ Kek Lapis Cadbury
(9 x 9 inci )
450g mentega berkualiti tinggi
120g tepung hong kong / tepung gandum (diayak)
220g gula halus
10 biji telur
100g tepung biskut marie
65g serbuk horlicks
50g serbuk santan (1 bungkus)
300g susu pekat manis
2 bungkus kepingan coklat Cadbury
Pewarna (optional)


1) Sediakan loyang kek dan griskan dengan mentega.

2) Putar mentega dan gula sehingga kembang dan berkrim.

3) Masukkan telur satu persatu sambil diputar perlahan.

4) Masukkan tepung biskut marie, horlicks dan tepung, santan dan susu pekat sedikit demi sedikit. Putar lagi sehingga sebati. Masukkan pewarna kuning jika suka. Kacau lagi sebati.
 
5) Ambil 7 sudu besar adunan dan ratakan ke dalam loyang dan bakar sehingga keperangan.

6) Ulangi lapisan dan susunkan kepingan coklat pada setiap lapisan yang ketiga.

7) Sejukkan kek sebelum dipotong.


Tips: Cara menyusun coklat: Bakar adunan terlebih dahulu. Kemudian susunkan coklat secara rawak. Tutupkan coklat dengan adunan seterusnya dan bakar sehingga keperangan, atau masukkan adunan dan susunkan coklat secara rawak dan bakar. Terpulang kepada keselesaan masing-masing.
Penghasilan Kek Lapis melalui proses manual yang amat teliti, rumit dan memakan masa maka tidak hairanlah harganya yang sedikit mahal. Kesabaran dan kesenian tinggi akan menghasilkan Kek Lapis yang begitu menarik dalam kepelbagaian corak, rasa dan saiz. Kelebihan Kek Lapis adalah motif dan coraknya yang unik serta digabungkan dengan keenakan rasa, di samping teksturnya yang lembap namun pejal. Ianya bukan hanya sesuai dihidangkan semasa perayaan malah juga sesuai untuk hantaran pertunangan, hantaran perkahwinan, hadiah dan sebagainya.



Lihat Juga...
 

Resepi Mee Kari

Resepi Mee Kari adalah antara makanan yang selalu dihidangkan adalah disebabkan rasa pedasnya yang dapat membuka selera. Resepi Mee kari dihiaskan dengan telur rebus, tauhu goreng, sawi celur, taugeh, cili merah, lemon/ limau kasturi, timun, daun sup, bawang goreng dan sebagainya. Tambahan lagi, resepi mee kari juga sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

http://resepimeekari.blogspot.com/


Resepi Roti Jala

Resepi Roti Jala adalah sesuatu resepi makanan yang sangat istimewa dan merupakan makananan kegemaran Orang Melayu di Malaysia.Resepi roti jala turut akan menjadi pilihan pada perayaan istimewa dan biasanya dihidangkan dalam apa jua jamuan, keduri atau majlis penting, samada rasmi atau santai.

http://resepirotijala.blogspot.com/